Saturday, October 23, 2010

personaliti pelajar pintar cerdas

salam n hai semua...berjumpa lg kita di akhir semester ini...fuhhh dgn 25 jam kredit sem ni dapatkah anda bayangkan betapa sibuknya saya berkejar dari fakulti pendidikan ke fakulti pengajian islam...kelas yg sangat padat...dengan program yg pelbagai...

Alhamdulillah dapat saya melaluinya walaupon dgn jerih payah....rindu pada anak lg...fuhhh smoga segala pengorbanan ini mendapat keberkatan dari Allah...
di sini saya sediakan esimen saya pada semester ini yang berpandukan jurnal plajar pintar cerdas...


ABSTRAK


Kajian ini bertujuan mengkaji personaliti pelajar pintar cerdas. Personaliti merujuk kepada organisasi watak, perangai, intelek, bentuk badan cara pemikiran dan tingkah laku seseorang individu. Kajian ini dilakukan untuk mengenal pasti jenis personaliti yang terdapat pada pelajar pintar cerdas. Secara tradisional, kanak-kanak pintar cerdas adalah kanak-kanak yang stabil darisegi kebijaksanaan dan mempunyai kelayakan yang mencukupi darisegi pencapaian IQ test untuk diiktraf sebagai kanak-kanak berbakat. Ianya lebih cenderung atau mirip kepada menekankan atau menitikberatkan kestabilan kecerdikan atau kepandaian. Banyak individu yang pintar cerdas tidak lain dengan orang biasa seperti kita. Walau bagaimanapun ini tidak bermakna mereka adalah sama dengan semua orang kecuali kecerdasan yang tinggi. Mungkin apa yang membezakan orang biasa dengan mereka yang pintar cerdas bukan kecerdasan semata-mata tetapi kelebihan mereka yang lain. Individu yang pintar cerdas berkongsi keistimewaan tertentu yang membezakan mereka dengan orang lain. Melalui pemahaman keistimewan ini, kita memahami individu pintar cerdas. Tingkah laku mereka ini sebenarnya boleh dijelaskan dan difahami. Walau apapun sikap dan hasil kerja mereka, apa yang berlaku kepada mereka adalah akibat faktor-faktor seperti sikap, peluang, minat dan kelebihan mereka yang unik. Memahami dinamik sosial, motivasi dan apa yang membezakan golongan pintar cerdas yang produktif, dan golongan pintar cerdas yang tidak menggunakan potensi mereka, menjadi isu pendidikan yang kritikal. Negara yang membangun seperti Malaysia tidak mampu membazirkan bakat yang bakal memberi sumbangan dalam bidang sains, kesusasteraan, keusahawanan, kebajikan, dan semua bidang pengetahuan atau usaha yang meningkatkan kesejahteraan sejagat.













PENDAHULUAN






1.0 Pengenalan


Setiap orang adalah dilahirkan dengan mempunyai perwatakan yang berbeza. Jika dua individu yang berbeza menghadapi satu masalah yang sama, cara penyelesaian yang dilakukan untuk menyelesaikan masalah tersebut mungkin dengan cara yang berbeza. Ini kerana cara pemikiran setiap individu itu adalah tidak sama. Inilah keindahan kejadian manusia yang diciptakan oleh pencipta-Nya mempunyai sifat yang unik dan tersendiri. Personaliti seseorang itu dapat dibayangkan oleh kecenderungannya sendiri untuk bertingkah laku mengikut cara yang tertentu (Kamaruddin Hj. Husin,1996).

Menurut Carver & Scheier (1998), personaliti mempunyai faktor yang penting dalam kehidupan seseorang individu. Personaliti mempengaruhi segala bentuk kelakuan individu tersebut. Ia melambangkan ciri-ciri keperibadian seseorang dan mencirikan perbezaan antara manusia dengan manusia yang lain. Menurut Heim (1978) dan Anida (2000), personaliti merupakan keseluruhan individu iaitu semua sifat keindividuan dan membezakan seseorang individu dengan individu lain. Personaliti termasuklah kombinasi semua sentimen kecenderungan minat, kemahiran kehendak, ciri-ciri, dan gaya yang membentuk setiap individu. Ini menunjukkan personaliti melambangkan seseorang dari segala aspek. Personaliti merupakan ciri-ciri keseluruhan tingkah laku yang tetap pada seseorang individu tetapi berbeza dengan individu yang lain. Menurut Warren & Carmichael (1930), personaliti merupakan seluruh organisasi mental seseorang insane dalam semua peringkat perkembangannya.

Banyak faktor yang mempengaruhi personaliti seseorang. Individu yang lahir daripada keluarga yang sempurna mungkin tidak sama personalitinya dengan personality individu yang lahir daripada keluarga yang berpecah belah. Individu yang mempunyai sejarah hitam kehidupan lepasnya mungkin mempunyai personaliti yang berbeza dengan individu yang sejarah kehidupannya penuh dengan perkara-perkara yang menggembirakan. Ini menunjukkan pengalaman lepas juga mempengaruhi personality seseorang. Menurut Asmawati Baharuddin dan Norhalim Ibrahim (1996), personality seseorang individu merangkumi aspek-aspek kecenderungan tingkah laku. Personaliti merupakan natijah kepada interaksi faktor genetik dan faktor persekitaran. Personaliti dipengaruhi oleh faktor-faktor dalaman dan luaran. Faktor-faktor dalaman adalah baka dan keturunan, aspek-aspek fizikal, fisiologi dan biokimia, pengaruh endokrin dan proses-proses pertumbuhan, kematangan dan pembesaran. Faktor-faktor luaran pula ialah ibu bapa, guru-guru, media, faktor sosial dan budaya, pengalaman hidup, kerencatan fizikal dan mental serta reaksi terhadap penyakit.

Falsafah Pendidikan adalah bermatlamat untuk melahirkan individu yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI). Jadi langkah dan usaha yang diambil untuk mencapai matlamat dalam sistem pendidikan kita mestilah mengambil kira aspek potensi dan keperluan setiap individu pelajar. Ini termasuklah aspek personaliti dan kecerdasan. Setiap individu yang dilahirkan mempunyai bakat dan potensi yang boleh diperkembangkan dan dipertingkatkan. Dengan kemajuan pada masa kini dan kemudahan dalam mendapatkan pelbagai jenis maklumat sedikit sebanyak member kesan yang besar terhadap perkembangan dan pertumbuhan fizikal, psikomotor dan emosi individu terutamanya di kalangan mereka yang mempunyai potensi dan bakat yang luar biasa yang juga dikenali sebagai mereka yang pintar cerdas (gifted). Manusia mempunyai potensi kekuatan dan kelemahan tertentu. Mana-mana kekuatan atau kelemahan akan berkembang subur dengan banyak berdasarkan beberapa faktor seperti jiwa manusia, corak asuhan, kualiti pendidikan, persekitaran fizikal dan persekitaran sosio budaya. Bakat yang dimiliki oleh mereka yang pintar cerdas ini perlulah diperkembangkan supaya ianya tidak dipersia-siakan. Untuk memperkembangkan potensi dan bakat yang dimiliki pelajar pintar cerdas ini, satu bentuk pendidikan khas perlu disediakan untuk pelajar pintar cerdas kerana mereka merupakan aset penting kepada negara. Negara memerlukan khidmat serta sumbangan mereka dari segi perkembangan ilmu, penciptaan ilmu dan pembangunan ekonomi untuk mampu bersaing dengan negara-negara lain (Nik Azis, 1999).

1.1 Latar Belakang Masalah


Perkataan personaliti merupakan perkataaan daripada Latin iaitu ‘persona’ atau ‘personalitas’. Perkataan ini membawa maksud topeng iaitu rupa luaran yang ada pada seseorang termasuklah ciri-ciri dan kualiti dalamannya. Allport (1961) membahagikan personaliti kepada tiga bahagian iaitu kesan luaran, struktur dalaman dan pandangan positif. Personaliti memberi dua pengertian iaitu yang pertama ialah kemahiran social iaitu personaliti seseorang dinilai melalui cara seseorang berjaya mendapatkan tindak balas yang positif daripada orang lain dalam pelbagai situasi. Maksud yang kedua ialah personaliti sebagai kesan yang diberikan oleh seseorang tentang dirinya kepada orang lain.

Berdasarkan kajian lepas, pengkaji mendapati terdapat faktor lain umpamanya personaliti mempengaruhi pencapaian akademik. Menurut teori Psikologi Karl Jung, Catherine Briggs dan anaknya Isabel Myers telah menghasilkan empat dimensi personaliti iaitu dimensi Extraversion dan Introversion, dimensi Sensing dan Intuitive, dimensi Thinking dan Feeling dan juga dimensi Judging dan Perceiving. Extraversion (ekstrovert) suka bergaul dengan ramai orang, suka bercakap, berjenaka, berfikiran terbuka, bertenaga bila berada dalam suatu kumpulan, bercakap
dulu sebelum berfikir, tidak suka menyatakan sesuatu dengan tulisan, kurang berminat ambil tahu apa yang berlaku pada seseorang, mudah hilang kesabaran dan emosi cepat berubah.

`Introversion (introvert) bertentangan dengan ekstrovert iaitu pemalu, pendiam, suka menyendiri, mengelak daripada berjumpa dengan orang ramai, beri peluang kepada orang lain dalam percakapan dan perbahasan, menyatakan idea dalam bentuk tulisan, tidak mengambil berat apa yang berlaku di luar tetapi mementingkn sifat diri seseorang. Sensing (penderiaan) menggunakan secara praktikal sumber maklumat yang kukuh, jelas dan nyata, mental memikirkan keadaan semasa dan baik dalam memperkatakan pengalaman yang lepas. Intuitive (intuisi) suka maklumat yang kabur, tekaan dan berkhayal, menggunakan khayalan apa kemungkinan akan berlaku, mental memikirkan masa hadapan dan ingatan mengutamakan kepada melihat corak, mencari hubungan dan makna serta baik dalam pemahaman teori. Thinking (berfikir) mengutamakan tugas dan pekerjaan yang sempurna, pencarian kepada fakta yang logik dalam buat keputusan, menyediakan objektif analisa yang kritikal dan mengakui perselisihan faham dengan manusia sebagai hubungan yang biasa Feeling (perasaan) mengutamakan pertimbangan antara kehendak dan tindakan manusia, bersetuju kepada cadangan yang popular, pencarian menggunakan perasaan manusia dalam membuat keputusan dan tidak bersetuju dalam perselisihan faham serta mengambil tindakan di luar dugaan. Judging (penghakiman) membuat rancangan lengkap sebelum sesuatu tindakan, elakkan tekanan perasaan hingga ke garisan terakhir dalam menjalankan tugas, meletakkan target (sasaran) dan menilai masa sebagai aturan hidup. Perceiving (pengamatan) lebih selesa bergerak dalam buat tindakan terus tanpa rancangan, toleransi dengan tekanan perasaan dalam bekerja, menggemari kepelbagaian dan kebebasan dalam matlamat kehidupan.

Menurut teori yang dikemukakan oleh Erik Erikson, terdapat perbezaan dalam pembentukan identiti mengikut jantina. Pengaruh keluarga dan budaya juga dikenalpasti memberi pengaruh dan kesan terhadap personaliti individu. Jadi, di kalangan pelajar pintar cerdas, adakah jenis personaliti yang dipunyai oleh pelajar-pelajar berlainan jantina dan bangsa ini juga akan menunjukkan perbezaan? Ini adalah sebahagian daripada perkara yang ingin dikaji oleh penyelidik dalam kajian ini. Individu yang pintar cerdas ialah individu yang mempunyai potensi dan bakat yang luar biasa yang boleh dipertingkatkan dan diperkembangkan. Golongan pintar cerdas di Malaysia mula diberi perhatian dalam sistem pendidikan dengan terlaksananya
Sistem Kelas Ekspres pada tahun 1962. Dalam sistem ini, kanak-kanak yang memiliki potensi dan memperoleh pencapaian mengatasi rakan-rakan sebayanya telah diberi peluang untuk memendekkan tempoh persekolahan rendah daripada enam tahun kepada lima tahun sahaja. Tetapi sistem ini telah dihentikan perlaksanannya pada awal tahun 1970an.

Namun pada awal tahun 1980an, satu Simposium Kebangsaan mengenai kanak-kanak
bergeliga telah diadakan. Ekoran daripada simposium yang telah diadakan ini, isu tentang pintar cerdas telah kembali dibangkitkan. Persatuan MENSA Malaysia telah ditubuhkan pada tahun 1983 untuk mengenal pasti individu yang pintar cerdas. Pada tahun 1985, Universiti Malaya telah memulakan program BAKA khusus untuk pelajar pintar cerdas manakala Persatuan Kanak-kanak Bergeliga Malaysia telah ditubuhkan pada tahun 1987. Menyedari betapa pentingnya program untuk pelajar pintar cerdas di negara ini, maka Seminar Pendidikan Pelajar Pintar Cerdas telah diadakan pada tahun 1990 di Fakulti Pendidikan Universiti Malaya. Hasil daripada seminar ini, didapati perancangan dan perlaksanaan program yang sistematik perlu diadakan bagi memenuhi keperluan pelajar yang pintar cerdas. Maka pada 1996, satu bentuk penilaian untuk mengenalpasti pelajar pintar cerdas telah dilaksanakan yang dikenali sebagai Ujian Penilaian Tahap Satu (PTS). Penilaian ini dilakukan keatas pelajar tahun tiga sekolah rendah. Pelajar yang melepasi tahap yang ditetapkan dibenar untuk melompat kelas dan belajar bersama-sama pelajar tahun lima tanpa perlu mengikuti pembelajaran tahun empat. Mungkin terdapat masalah dalam sistem ini, program ini hanya dilaksanakan dalam tempoh lima tahun sahaja. Pelajar-pelajar pintar cerdas dianggap akan berjaya dalam pelajaran sekolah dan dalam kehidupan seharian mereka secara automatik. Bagaimanapun, anggapan ini tidak disokong oleh kajian saintifik. Sering kali kanak-kanak pintar cerdas bukan sahaja gagal membina skim pemikiran yang mantap malah mereka juga mengalami masalah penyesuaian diri, kekosongan jiwa, kekecewaan dan kerisauan.

Sebahagian daripada tokoh pintar cerdas yang terkemuka pernah mengalami kesulitan dalam pendidikan sekolah. Misalnya Einstein gagal dalam bahasa, Schubert gagal dalam matematik, George Bernard Shaw tidak dapat mengeja dengan baik, dan Newton memaparkan skim pemikiran yang serba kekurangan semasa di sekolah rendah (Larson,1973). Ini menunjukkan betapa pentingnya untuk menyediakan satu program yang khas utuk pelajar-pelajar pintar cerdas ini supaya bakat dan potensi yang ada pada pelajar-pelajar ini dapat dikembangkan dan bagi mengelakkan pelajar-pelajar ini mengalami masalah yang disebabkan gaya pembelajaran yang tidak sesuai dengan tahap kebolehan mereka. Ini dapat dibantu dengan mengetahui personaliti yang ada pada pelajar-pelajar pintar cerdas ini yang mana akan menjadi petunjuk dan panduan untuk semua pihak bagi menentukan gaya pembelajaran yang terbaik bagi mereka.

Dengan perlaksanaan program KBSR dan KBSM yang memberi tumpuan kepada umum untuk semua pelajar, maka masanya sudah tiba untuk kita meneliti isu-isu yang berkaitan dengan pengajaran, pembelajaran dan penilaian bagi pendidikan pintar cerdas secara meluas dan mendalam. Kalau tidak, kemungkinan pelajar pintar cerdas yang akan menceburi bidang pekerjaan pada masa akan datang nanti akan mengalami kesulitan untuk memenuhi tuntutan dunia moden yang penuh mencabar kerana mereka tidak mendapat didikan yang sewajarnya. Peningkatan dalam bidang pendidikan pada masa sekarang menunjukkan bahawa negara kita sedang menuju kepada sebuah negara maju. Ini dapat dibuktikan dengan peningkatan dan kemajuan dalam pencapaian pelajar-pelajar kita dalam bidang akademik. Dada- dada akhbar sering kali memaparkan kecemerlangan pelajar-pelajar kita dalam bidang pendidikan setiap kali keputusan peperiksaan diumumkan. Pada tahun ini contohnya negara kita dibanggakan lagi dengan keputusan seorang pelajar kita iaitu Amelina Che Bakri yang memperolehi 17A dalam peperiksaan SPMnya, (SPM 2004). Ini menunjukkan ibu bapa pada masa kini sudah faham akan kepentingan pendidikan pada masa sekarang.

Dengan meningkatnya taraf serta kualiti pendidikan di negara kita, maka meningkatlah juga bilangan pelajar-pelajar kita yang cemerlang dalan bidang pendidikan. Dengan erti kata yang lain, semakin ramai pelajar kita yang pintar cerdas. Bilangan Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Institut Pengajian Tinggi (IPT) sama ada awam ataupun swasta semakin bertambah. Peluang untuk memasuki sekolah-sekolah berasrama dan institusi-institusi pengajian tinggi juga semakin hari semakin sengit. Tetapi mengapa ramai siswazah kita sukar untuk memperolehi pekerjaan pada masa kini? Adakah disebabkan peluang kerja yang terdapat di negara kita tidak dapat menampung bilangan siswazah kita yang ramai atau siswazah-siswazah yang dilahirkan tidak cukup kualiti dan keupayaan mereka untuk memasuki bidang-bidang kerjaya yang tertentu walaupun mempunyai kelayakan (Diploma, Ijazah atau sebagainya)? Di manakah silapnya dalam bidang pendidikan kita yang menyebabkan situasi seperti ini berlaku? Banyak kajian perlu dilakukan terhadap pelajar-pelajar pintar cerdas ini. Ini bagi memastikan kehadiran dan kebolehan mereka tidak disisa-siakan. Merekalah pelapis generasi kita yang akan mengambil alih negara pada masa hadapan.


1.2 Pernyataan Masalah


Tahap kesedaran yang tinggi terhadap kepentingan pendidikan secara tidak langsung melahirkan ramai pelajar kita yang pintar cerdas. Gaya pembelajaran bagi pelajar pintar cerdas ini sudah semestinya tidak sama dengan pelajar-pelajar yang biasa. Adalah penting untuk mengkaji cara proses pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dan berkesan untuk mereka ini bagi memastikan kelebihan yang dimiliki oleh mereka dapat memberi manfaat kepada negara suatu masa nanti.
Setiap kanak-kanak normal mempunyai potensi untuk tumbuh dan berkembang menjadi pelajar pintar dan berbakat. Ibu bapa dan sekolah bertanggungjawab untuk membimbing kanak-kanak tersebut mengembangkan potensi mereka secara seimbang, menyeluruh, sepadu dan optimum. Pengalaman dan aktiviti pembelajaran yang disediakan untuk pelajar-pelajar harus dapat mengembangkan, memupuk, mencungkil dan meningkatkan kebolehan, bakat dan motivasi yang sedia ada dalam bidang rohani, kognitif, afektif dan psikomotor ke peringkat yang maksimum. Perlu ditegaskan bahawa pelajar-pelajar yang mempunyai potensi pintar cerdas tidak akan berkembang menjadi pelajar pintar cerdas jika mereka tidak didedahkan kepada pengalaman dan aktivitipembelajaran yang sesuai.

Matlamat pelajar pintar cerdas adalah untuk melahirkan pelajar yang baik. Pelajar yang baik memiliki personaliti yang seimbang dan sepadu. Kanak-kanak pintar adalah suatu sumber alam yang berharga (Gardner, 1961) dan mereka merupakan sebahagian daripada harta kekayaan negara. Bagaimanapun sekolah sering kali gagal untuk memberi perhatian yang sewajarnya kepada pendidikan pelajar-pelajar pintar cerdas kerana pelajar-pelajar tersebut dinggap tidak memerlukan sebarang bimbingan yang khusus, ataupun kebolehan mereka tidak diketahui oleh guru. Gallagher (1975) berpendapat bahawa ramai guru gagal mengenalpasti pelajar-pelajar pintar kerana mereka memberi perhatian kepada petunjuk tingkah laku yang salah. Kajian ini dilakukan adalah untuk mengkaji pola personaliti pelajar-pelajar pintar cerdas. Kajian ini merangkumi jenis-jenis personaliti yang terdapat di kalangan pelajar-pelajar pintar cerdas dan adakah terdapat perbezaannya di antara personaliti pelajar yang berlainan jantina. Berdasarkan kajian tentang personaliti dalam psikologi bersama-sama dengan hasil-hasil penyelidikan terhadap psikologi perkembangan, teori pembelajaran dan psikologi sosial pada perbezaan individu dan mengambil kira manusia itu secara keseluruhan, ahli-ahli personaliti cuba untuk menggubal prinsip-prinsip umum yang dapat menerangkan serta dapat meramal perbezaan-perbezaan yang terdapat dalam kelakuan individu.



1.3 Isu dan Masalah

Pendidikan khas adalah pendidikan untuk mereka yang berbeza dan minoriti. Akibat perbezaan ini mereka tidak mendapat manfaat yang sepenuhnya dalam sistem pendidikan yang biasa. Berbeza dengan pelajar istimewa pada satu ekstrim lagi, keunikan dan keistimewaan individu pintar cerdas menjadi punca masalah dan juga faktor kejayaan mereka. Dinamik antara masalah dan pencapaian mereka perlu dikaji dengan lebih teliti lagi.

Subotnik seorang pengkaji dalam bidang pendidikan pintar cerdas pernah mengandaikan, “some gifted individuals’ lives might be too comfortable to push them beyond their limits”. Kajian Subotnik terhadap lepasan sebuah sekolah terpilih yang sangat berdaya saing, menunjukkan kebanyakan pelajar mencapai taraf status sosial yang tinggi dan kehidupan yang selesa. Tetapi mereka tidak mencapai apa-apa pencapaian yang luar biasa. Kebanyakan daripada mereka berasa puas hati dengan kehidupan sedia ada dan tidak berminat mendapat nama atau kebendaan yang berlebih-lebih, ataupun penemuan yang penting dalam bidang pengetahuan.

Maka jelaslah hubungkaitan antara masalah dan keistimewaan mereka bukan setakat isu penyesuaian mereka lantaran perbezaan mereka semata-mata tetapi masalah itu sebaliknya mungkin menjadi pemangkin kepada usaha dan pencapaian mereka. Ekstrim yang satu lagi juga mungkin berlaku: masalah ini menjadi punca kegagalan dan kesengsaraan hidup mereka, apabila mereka tidak boleh menangani masalah ini. Guru perlu memahami apa yang dikehendaki oleh pelajar tidak semestinya apa yang diperlukan oleh mereka. Pelajar tidak semestinya memahami apa yang terbaik untuk diri mereka. Sebab itu guru perlu memahami pelajar mereka. Masalah mungkin berlaku apabila guru mengeksploitasikan bakat pelajar demi kesenangan dirinya. Contohnya, melantik mereka mengajar pelajar yang lain yang lebih lemah bukan cara untuk guru
melepaskan tanggungjawab terhadap pelajar pintar cerdas. Ini berlainan dengan guru membantu mereka memperbaiki teknik mengajar atau berkomunikasi. Perkembangan mereka secara tidak langsung telah terjejas. Guru perlu mempertimbangkan dua faktor dalam membuat keputusan: apa yang dikehendaki oleh pelajar dan apa yang diperlukan oleh pelajar.

Dua-dua faktor ini sama penting. Sebagai pelajar yang perkembangannya berbeza dengan pelajar yang lain, mereka sendiri mungkin lebih memahami apakah kelebihan dan minat sendiri. Walaupun ini tidak bermakna mereka semestinya membuat keputusan yang terbaik untuk diri mereka. Ini boleh dilihat pada sikap segelintir pelajar pintar cerdas yang tidak suka membuat latihan, walaupun mereka belum menguasai kemahiran tersebut. Ataupun sikap mereka yang hanya belajar apa yang diminatinya. Guru perlu memahamkan mereka kepentingan berlatih dan menguasai bidang pengetahuan yang tertentu. Pada masa yang sama, bukan mustahil mereka tidak dapat mengenal minat, kekuatan dan kelemahan sendiri, contohnya berasa keliru semasa pemilihan jurusan bidang pengajian.

Dalam pada itu, mereka memerlukan bimbingan orang yang lebih berpengalaman hidup. Satu lagi risiko yang biasa dihadapi adalah, orang lain cenderung memandang tinggi dan mengandaikan pelajar yang pintar cerdas cekap menguruskan dirinya, keadaan yang sebaliknya adalah biasa. Contohnya dia tidak mendapat maklumat yang secukupnya dalam membuat keputusan mengenai peluang melanjutkan pelajaran. Berikut disenaraikan dua senario, apakah yang anda faham tentang dua kes ini? Senario 1: Seorang pelajar yang pintar cerdas selalu melakukan kesilapan dalam operasi matematik, dia menjadi tidak suka kepada matematik. Keputusannya menurun mendadak selepas bapanya meninggal dunia sejak satu tahun yang lepas. Sebagai cikgu, cuba fikirkan apa yang berlaku kepada pelajar ini? Selepas cikgu menanyakan ibunya, guru mendapati sebelum ini bapa pelajar ini yang menemaninya menghabiskan kerja rumah matematik. Selepas kematian bapanya, pelajar ini menjadi benci kepada subjek matematik sebab sedih mengenangkan bapanya (sifat sensitiviti). Pada masa yang sama, pelajar yang pintar cerdas tersebut berasa bosan kepada latih tubi sesuatu konsep yang dia telah faham. Operasi matematik seperti operasi tambah dan tolak hanya melibatkan pemahaman yang terhad tetapi memerlukan ketelitian dan kerja yang rapi. Pelajar pintar cerdas tersebut berasa bosan, tidak sabar dan kerap melakukan kesilapan akibat kecuaiannya. Tulisannya mungkn tidak kemas dan dia seorang yang “comot.” Lama-kelamaan dia mungkin menjadi benci kepada matematik dan pemahaman matematiknya yang canggih menjadi terkubur begitu saja.

Ringkasnya dia menghadapi masalah: masalah pembelajaran dalam operasi matematik tetapi tidak tercabar dari segi pemahaman sehingga dia menolak atau tidak berminat memberi perhatian kepada pengiraan operasi lagi. Guru boleh memperkenalkan buku matematik yang berkualiti dan mencabarnya mengira dengan teliti (dengan cara memahamkan kepentingan pengiraan tersebut dll). Satu lagi kemungkinan adalah pelajar tersebutbermasalah pembelajaran dalam matematik. Bukan mustahil seorang pintar cerdas juga menghadapi masalah pembelajaran pada masa yang sama. Senario 2: A selalu mendapat tempat pertama dalam kelas. Tetapi dia tidak suka kepada sekolah, dia berasakan jiwanya kosong dan tidak pernah dia memikirkan masa depannya. Apakah masalah A?

Banyak dibincangkan individu terdapat banyak ciri-ciri positif, seolah-olah mereka adalah golongan yang sempurna dan istimewa. Deskripsi ini adalah sesuai untuk menerangkan kebanyakan individu pintar cerdas secara umumnya. Bagi skop yang lebih kecil, pada peringkat individu, pelajar pintar cerdas memperlihatkan banyak kelemahan. Seawal 1930-an, Leta Hollingworth bekerja di Sekolah Speyer, satu sekolah untuk pelajar pintar cerdas yang mementingkan apa yang dikatakan pendidikan emosi untuk mereka. Menurutnya banyak golongan ini menjadi bersikap dingin dan apatetik sebab kecewa dengan pengalaman persekolahan. Hollingworth menganggap golongan ini sebagai golongan yang senang diserang masalah emosi (Davis & Rimm, ms 7), ini jelas memberi gambaran yang berlainan dengan kajian Terman.


1.4 Objektif Kajian

Terdapat beberapa objektif kajian yang akan membantu untuk menjalankan penyelidikan terhadap isu yang dibincangkan. Antaranya ialah:

• Mengenalpasti apakah jenis-jenis personaliti yang terdapat di kalangan pelajar
pintar cerdas.
• Mengenalpasti sama ada terdapat perbezaan antara ciri-ciri personaliti pelajar
lelaki dan pelajar perempuan di kalangan pelajar pintar cerdas.



1.5 Persoalan Kajian


Dalam menjalankan kajian ini, beberapa persoalan kajian yang dibuat berdasarkan objektif kajian. Berikut merupakan persoalan kajian terhadap isu ini:

• Apakah jenis-jenis personaliti yang terdapat di kalangan pelajar-pelajar pintar
cerdas?
• Adakah terdapat perbezaan personaliti di antara pelajar-pelajar lelaki dengan
pelajar-pelajar perempuan?

1.6 Kesimpulan

Falsafah Pendidikan Negara bermatlamat untuk memperkembangkan potensi individu pelajar secara menyeluruh dan bersepadu dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Oleh itu seluruh usaha dan langkah yang diambil dalam sistem pendidikan mestilah mengambil kira potensi dan keperluan setiap individu pelajar.

Setiap individu pelajar yang normal semenjak dari usia bayi telah memiliki potensi dan bakat yang boleh diperkembang dan dipertingkatkan. Dewasa kini mereka telah terdedah lebih awal dengan pelbagai sumber maklumat. Fenomena ini sedikit sebanyak boleh memberi impak yang besar dalam perkembangan dan pertumbuhan fizikal, kognitif, psikomotor dan emosi mereka, terutama di kalangan mereka yang dikenali sebagai pelajar pintar cerdas. Pelajar yang mempunyai potensi dan bakat yang luar biasa serta melebihi kebolehan rakan seusianya lebih dikenali sebagai kanak-kanak pintar cerdas (gifted). Pelajar pintar cerdas dan berbakat merupakan individu yang memiliki potensi yang tinggi dalam pelbagai aspek perkembangan dan pertumbuhan. Bagi mengembangkan potensi dan bakat mereka dengan lebih sistematik dan berkesan, suatu program pendidikan khusus amat diperlukan.


Rujukan


• Abd Majid Mohd Isa.1994. Keberkesanan Raven SPM dalam mengenalpasti kanak¬kanak Melayu pintar cerdas. Pertanika. J. Soc. Sci Hum 2(1): 63-68.

• Abdul Rahim M. Ali. (1991). Personaliti dan Hubungannya dengan Pencapaian Akademik Murid-Murid Sekolah Rendah Luar Bandar. Laporan Penyelidikan M.Ed. Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

• Che Mah Yusof dan Mariani Mohd Nor. (2001). Personaliti pelajar pintar dan hubungannya dengan pencapaian akademik. Prosiding konferensi kebangsaan Kajian Pasca Siswazah (Greduc.), Fakulti Pendidikan Universiti Malaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

• Chua, T. T. & Koh, B. B. (1992). Pendidikan khas dan pendidikan pemulihan: Bacaan asas. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

• Fatanah Mohamed. (1997). Perkaitan antara pencapaian akademik dengan faktor personaliti dan persekitaran keluarga di kalangan pelajar MRSM. Tesis Phd. Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor.

• Nik Azis Nik Pa. (1999). Mitos dan realiti tentang pelajar pintar cerdas. Jurnal Kebajikan, 16(2), 87–112, Disember 1994.

• Ng Seng Fa. (2005). Rahsia Individu Pintar Cerdas dan Masalah Mereka. Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.

• Terman, Lewis M. (1930). Genetic studies of genius: Mental and physical traits of a thousand gifted children (Vol 1). Stanford, CA: Standford University Press.

No comments:

Post a Comment